BALTIMORE, 6 September- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima secara rasmi kapal Ex-United States Coast Guard (USCG) Cutter Steadfast hari ini.
Majlis penyerahan di Wheaton O’Thorp Center (WOTC), Amerika Syarikat (AS) disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman, serta Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.
Timbalan Ketua Pegawai Pemerolehan dan Pengarah Perkhidmatan Domain & Integrasi USCG, James Knight, menyerahkan sijil pemilikan kepada Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.
James Knight berkata, kapal yang ditauliahkan pada 1968 itu telah berkhidmat selama 56 tahun sebelum diserahkan kepada Malaysia.
Sementara itu, Datuk Mohd Rosli menyifatkan aset baharu tersebut sebagai simbol kerjasama erat antara Malaysia dan AS.
“Kapal ini bakal mencatat sejarah sebagai pelayaran paling jauh dan paling lama dalam sejarah Maritim Malaysia apabila merentasi Lautan Atlantik, Mediterranean, Laut Merah, Terusan Suez dan Lautan Hindi,” katanya.
Beliau berharap kapal itu dapat memperkukuh operasi penguatkuasaan maritim serta meningkatkan keselamatan perairan negara.
Seramai 50 kru, termasuk sembilan pegawai dan 41 anggota, telah menamatkan latihan intensif tujuh minggu di AS bagi mengendalikan 210’ Reliance Class Medium Endurance Cutter (MEC) itu.