KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Sebuah kapal kargo yang bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 0.6 batu nautika barat daya Sementa perairan Selangor ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada pukul 12.30 tengah hari semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kapal tersebut dikendalikan seorang nakhoda bersama 14 kru, kesemuanya warganegara Indonesia.
"Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 491B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM).
"Perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan nahkoda serta seorang jurutera kedua kapal telah dibawa ke Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut beliau, Maritim Malaysia sentiasa memandang serius isu pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya di Selangor sentiasa terpelihara.
"Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada JLM dan perlu mengikut peraturan yang ditetapkan sebelum melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia," katanya lagi.
Orang ramai digesa menyalurkan sebarang maklumat berhubung kegiatan mencurigakan atau insiden kecemasan di laut melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.