fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia perketat kawalan sempadan perairan negara sempena Tahun Baharu Cina

Foto Maritim Malaysia

PUTRAJAYA, 9 Februari- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menugaskan seramai 800 pegawai dan anggota penguat kuasa dengan kekuatan 45 buah aset milik agensi itu sempena Sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut pada hujung minggu ini.

Ia bagi melaksanakan rutin rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan negara yang meliputi keluasan 556,285 kilometer persegi di perairan maritim negara selain mengekang dan memerangi kegiatan jenayah rentas sempadan serta aktiviti salah laku di Zon Maritim Malaysia.

Maritim Malaysia dalam kenyataan berkata, pihak agensi turut memperhebatkan rondaan di kawasan panas (hotspot) yang telah dikenal pasti.

"Maritim Malaysia juga tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di kawasan perairan negara.

"Maritim Malaysia turut menyeru kepada komuniti maritim khususnya untuk terus menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak Agensi ini agar aktiviti salah laku dan jenayah maritim dapat dibanteras habis-habisan," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun orang ramai diharap dapat membantu menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim (POMAR) di talian 03-89434001 serta mana-mana Pusat Operasi Maritim Negeri (PUSOP) berhampiran di seluruh negara atau menghubungi Malaysian Emergency Response Services (MERS) di talian 999.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI