fb fb fb fb fb

Pelanggaran MT Hafnia Nile dengan MT Ceres 1 tidak berlaku di perairan Singapura

Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana Maritim, Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Mad Yunus

KOTA TINGGI, 20 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan laporan media Singapura yang mendakwa pelanggaran kapal MT Hafnia Nile dengan MT Ceres 1 berlaku di perairan Singapura.

Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana Maritim, Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Mad Yunus berkata, berdasarkan peta Malaysia lokasi insiden itu jelas berada pada 25 batu nautika daripada Tanjung Sedili, di sini.

"Mengikut kepada peta Malaysia kawasan tersebut jelas dalam kawasan Malaysia. Batu Putih pun dalam 55 batu, jauh..Jadi kenyataan oleh pihak Singapura itu, jelas tidak betullah," kata Azman dalam satu sidang media di Tanjung Sedili, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu pihaknya menggerakkan pesawat amfibia jenis Bombardier CL-415 MP pada pukul 12.00 tengahari tadi bagi mengesan kapal MT Ceres 1 yang dilaporkan meninggalkan lokasi pada hari ini.

Pihaknya akan menggerakkan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dalam usaha menyelamat mangsa yang dipercayai masih berada di kapal berdaftar dari Republik Demokratik Sao Tome dan Principe itu.

TETITIA YUSOFF