
SEPANG, 1 September – Anugerah Pengelola Jemaah Haji (PJH) bukan sahaja bertujuan mengiktiraf kecemerlangan syarikat pengelola, malah menggalakkan peningkatan kualiti dan amalan terbaik dalam perkhidmatan haji.
- Inisiatif TH dijadikan agenda tahunan untuk mengekalkan dan meningkatkan prestasi pengurusan haji negara di peringkat antarabangsa.
- Syarikat dipilih melalui penilaian menyeluruh meliputi kedudukan kewangan, rekod prestasi, pengalaman dan keupayaan memberikan perkhidmatan terbaik.
- Semua PJH dan bakal jemaah mesti patuhi peraturan Arab Saudi termasuk permit visa; PJH perlu beri maklumat penginapan, pengangkutan, makanan jelas dan telus.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, inisiatif Lembaga Tabung Haji (TH) yang akan dijadikan agenda tahunan itu diharap dapat membantu mengekalkan prestasi pengurusan haji negara di peringkat antarabangsa.
“Ini adalah salah satu daripada inisiatif pihak TH untuk merancakkan lagi dan meningkatkan kualiti penawaran perkhidmatan daripada Pengelola Jemaah Haji negara.
“Walaupun kita berada pada satu tahap yang tinggi, kita ingin memastikan semua PJH mempunyai kualiti terbaik supaya ia menjadi rujukan dunia, bukan lagi hanya di peringkat nasional,” katanya.
Beliau menyatakannya ketika berucap pada Majlis Serahan Lesen PJH Musim Haji 1448H/2027M, di sini.
Sebanyak 33 syarikat termasuk TH Travel & Services Sdn Bhd menerima Lesen Pengelola Jemaah Haji bagi musim haji 1448H/2027M.
Dr. Zulkifli berkata, syarikat terpilih melalui proses penilaian menyeluruh merangkumi kedudukan kewangan, rekod prestasi, pengalaman serta keupayaan mengurus dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.
Semakan turut dilaksana bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memastikan syarikat yang diberi kepercayaan memenuhi syarat ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua PJH dan bakal jemaah supaya mematuhi peraturan kerajaan Arab Saudi, khususnya berkaitan permit dan visa sah untuk menunaikan haji.
Menurutnya, kerajaan Arab Saudi mengenakan hukuman dan denda berat kepada mereka yang melanggar peraturan berkenaan.
Beliau turut menyeru PJH supaya memberikan maklumat yang jelas, tepat dan telus kepada bakal jemaah, terutama berkaitan penginapan, pengangkutan, makanan serta kemudahan lain.