
KUALA LUMPUR, 1 September – Potensi jualan dan kerjasama perniagaan sehingga RM150 juta disasarkan 12 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi Malaysia menerusi penyertaan dalam Pameran Antarabangsa Perusahaan Kecil dan Sederhana China (CISMEF) di Guangzhou.
- Misi KUSKOP ke Guangzhou bertujuan memperluas akses pasaran, mempercepat pendigitalan dan mengantarabangsakan PMKS serta koperasi Malaysia.
- Fokus mencari pembeli, pengedar, platform e-dagang dan rakan strategik baharu bagi meningkatkan peluang eksport.
- Perbincangan dengan MATRADE dan MIDA untuk menarik pelaburan Guangdong serta peluang menjadi pembekal dan penyedia perkhidmatan tempatan.
- Libat urus dengan Pusat Operasi Alibaba China Selatan fokus AI, awan, analitik, e-dagang rentas sempadan, pemasaran digital dan logistik pintar; merasmikan Pavilion Malaysia.
Penyertaan itu sebahagian daripada Misi Perdagangan Khas Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ke Guangzhou dari 1 hingga 5 September ini.
Menterinya, Steven Sim memaklumkan, misi berkenaan akan dimanfaatkan untuk memperluas akses pasaran, mempercepat pendigitalan serta meningkatkan pengantarabangsaan PMKS dan koperasi tempatan.
“Fokus kita sangat jelas, cari pembeli dan rakan perniagaan baharu untuk syarikat Malaysia. Pada masa sama, mengenal pasti teknologi dan model yang boleh membantu PMKS kita meningkatkan keupayaan eksport,” katanya dalam satu kenyataan.
Sepanjang misi itu, beliau akan mengadakan sesi kerja bersama bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Guangzhou.
Fokus tertumpu kepada usaha mengenal pasti pembeli, pengedar, platform e-dagang serta rakan strategik baharu, selain meneroka peluang pelaburan dari Guangdong ke Malaysia.
“KUSKOP juga memberi tumpuan kepada pelaburan yang boleh memberi limpahan kepada PMKS tempatan, termasuk peluang menjadi pembekal, pengedar, rakan teknologi dan penyedia perkhidmatan kepada syarikat China yang beroperasi di Malaysia,” katanya lagi.
Delegasi KUSKOP turut dijadual mengadakan libat urus dengan Pusat Operasi Alibaba China Selatan bagi meneroka kerjasama dalam kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, analitik data, e-dagang rentas sempadan, pemasaran digital dan logistik pintar.
Steven juga dijadual merasmikan Pavilion Malaysia di CISMEF yang menghimpunkan lebih 1,000 perusahaan dan institusi China tahun ini, sebelum mewakili Malaysia pada Mesyuarat Menteri-menteri Perusahaan Kecil dan Sederhana APEC (APEC SMEMM) Ke-32 pada 4 September.