
BANGI, 22 Januari – Pelancaran Malaysian Research Initiative for National Agenda (MaRINA) 3.0, merupakan inisiatif dalam memastikan penyelidikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) nasional kekal praktikal, boleh dilaksanakan serta selari dengan perubahan pesat landskap pekerjaan, teknologi dan risiko baharu.
- MaRINA 3.0 memastikan penyelidikan KKP praktikal, boleh dilaksanakan dan selari dengan perubahan landskap pekerjaan dan teknologi.
- Fokus meliputi 14 bidang utama termasuk risiko tempat kerja, keselamatan jalan raya, kebersihan pekerjaan dan ergonomik.
- Integrasi AI, pendigitalan bertanggungjawab, kesejahteraan psikososial dan penyakit tidak berjangkit dalam agenda penyelidikan.
- Kerjasama diperluas ke institusi ASEAN dan antarabangsa melalui bengkel pra-MaRINA untuk menetapkan keutamaan penyelidikan.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Chong Chieng Jen berkata, inisiatif itu bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan secara langsung kepada penambahbaikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
“Kajian yang kami fokuskan dalam MaRINA 3.0 merangkumi 14 bidang utama dan telah mengalami perkembangan. Pada asasnya, penyelidikan kami dalam MaRINA 1.0 dan 2.0 lebih tertumpu kepada keperluan pemain industri tempatan.
“Namun, untuk versi 3.0, kami berkembang melangkaui sempadan negara dan akan bekerjasama dengan institut-institut ASEAN lain dalam bidang penyelidikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Malaysian Research Initiative for National Agenda (MaRINA) 3.0 di sini.
Dua fasa terdahulu MaRINA telah merekodkan lebih 30 projek penyelidikan melibatkan 27 kolaborasi daripada institusi akademik dan industri, sekali gus mencerminkan kerjasama berterusan dalam menyokong inovasi serta penambahbaikan tempat kerja.
MaRINA 3.0 akan memperkukuh hala tuju tersebut melalui agenda penyelidikan yang berteras kepada 14 bidang fokus, merangkumi risiko harian di tempat kerja, keselamatan jalan raya berkaitan kerja, kebersihan pekerjaan dan ergonomik.
Agenda itu turut merangkumi integrasi kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan secara bertanggungjawab, kesejahteraan psikososial, penyakit tidak berjangkit di tempat kerja, serta kesejahteraan keseluruhan tenaga kerja dan keupayaan bekerja.
Ke arah pelaksanaan MaRINA 3.0, NIOSH turut menganjuran Bengkel Pra-MaRINA 3.0 di Putrajaya yang menghimpunkan pakar KKP dari ASEAN dan peringkat antarabangsa bagi menetapkan keutamaan penyelidikan untuk fasa seterusnya.