MARA sasar UPTM, UniKL ke Bursa Malaysia dalam tiga tahun

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bergambar bersama ahli pemukiman pada Pemukiman KKDW dan Syarikat Milikan Agensi di Kuala Nerus/ BERNAMA

KUALA NERUS, 10 Februari – Dua institusi pendidikan tinggi di bawah Majlis Amanah Rakyat MARA iaitu Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) disasarkan untuk tersenarai dalam Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • UPTM dan UniKL disasarkan untuk tersenarai di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun berdasarkan prestasi keuntungan semasa.
  • Prestasi kewangan mesti dikekalkan dan dipertingkatkan dengan menambah bilangan pelajar, termasuk pelajar antarabangsa.
  • Tiga entiti kesihatan akan digabungkan menjadi entiti usahawan profesional MARA yang juga disasarkan untuk penyenaraian sama.

Sasaran itu ditetapkan berdasarkan prestasi keuntungan semasa yang dicapai kedua-dua institusi tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata sasaran tersebut bersesuaian dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang merupakan anjakan besar bagi pembangunan Bumiputera.

Belia berkata ia boleh dilakukan melalui pemantapan kursus-kursus yang bersesuaian dengan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, internet pelbagai benda dan robotik.

Bagi mengekalkan prestasi kewangan kedua-dua entiti itu, jumlah keuntungan perlu dipertingkatkan melalui peningkatan jumlah pelajar termasuk pelajar dari luar negara.

“Kita telah menetapkan tempoh maksimum tiga tahun daripada sekarang berdasarkan rekod prestasi keuntungan sebagai prasyarat kepada penyenaraian.

“Dalam tempoh ini, prestasi kewangan perlu dikekalkan serta dipertingkatkan dengan meningkatkan jumlah pelajar yang memasuki kedua-dua institusi tersebut, termasuk memberi peluang kepada pelajar daripada luar negara untuk melanjutkan pengajian di institusi berkenaan”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi Penggulungan Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Syarikat Milikan Agensi Tahun 2026.

Dalam pada itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata tiga entiti kesihatan iaitu Uni Klinik ,Uni Farmasi dan Uni Klinik Pergigian akan digabungkan dalam sebuah entiti usahawan profesional MARA yang juga disasarkan untuk disenaraikan dalam bursa bagi tempoh yang sama.

Pemukiman yang bermula Ahad lepas, telah menggariskan 28 inisiatif utama untuk dijadikan garis panduan sepanjang tahun ini bagi memacu pembangunan serta kesejahteraan luar bandar.

Antara inisiatif utama yang ditetapkan adalah pembangunan kawasan desa terpilih sebagai hab pelaburan bersepadu dengan ekosistem sokongan bagi menarik pelaburan bernilai tambah dan memperkukuh sosioekonomi.