fb fb fb fb fb

Mandat rakyat, penawar ampuh kestabilan politik - PM

(Datuk Seri Ismail Sabri berucap pada Majlis Perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia
Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh/BERNAMA)

AYER KEROH, 14 Oktober- Mandat rakyat merupakan penawar ampuh bagi menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan yang teguh, stabil dan dihormati selepas Pilihan Raya Umum ke-15, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yakin, rakyat sedia menggunakan hak masing-masing untuk memilih kerajaan yang mampu mengekalkan kestabilan politik, memulih, mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan.

"Pada 10 Oktober lepas, saya telah mengumumkan pembubaran parlimen ke-14 selepas mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Dengan pengumuman itu, mandat akan dipulangkan kembali kepada rakyat kerana mandat rakyat," kata Ismail Sabri semasa berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari dan barisan exco kerajaan negeri.

Ismail Sabri seterusnya berkongsi kejayaan dicatatkan negara dalam tempoh lebih setahun ini meskipun berdepan pelbagai cabaran luar biasa, berkat kerjasama Keluarga Malaysia dan kecekapan kerajaan dalam mentadbir negara.

Katanya dalam tempoh itu Malaysia muncul antara negara yang menyaksikan prestasi ekonomi terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 8.9% pada suku kedua 2022 berbanding 5.0% pada suku pertama 2022.

(Datuk Seri Ismail Sabri ketika acara perasmian Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia
negeri Melaka di MITC Ayer Keroh/BERNAMA)

"Saya yakin ekonomi negara tahun ini mampu mencapai sasaran KDNK antara 6.5% hingga 7.0% dengan mengambil kira pencapaian separuh pertama tahun 2022 sebanyak 8.9%.

“Malaysia juga diiktiraf sebagai negara ke-18 paling aman di dunia daripada 163 negara dan kedua di Asia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022, yang menjadi ukuran utama kedamaian global di dunia. Ia merupakan pencapaian terbaik Malaysia sejak GPI diperkenalkan pada 2008,” katanya.

Dalam menangkis dakwaan pembangkang kononnya Malaysia bukan lagi destinasi pelaburan asing perdana menteri berkata, pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran langsung bersih bernilai RM47.4 bilion bagi separuh pertama 2022.

“Kerajaan sentiasa memantau kesan inflasi kepada harga barangan asas hingga berjaya mengawalnya ke tahap lebih rendah berbanding negara serantau,” katanya, dan menambah kerajaan juga menyalurkan subsidi RM77.7 bilion yang merupakan subsidi terbesar dalam sejarah negara bagi meringankan beban Keluarga Malaysia.

Menurutnya dalam tempoh itu juga, kerajaan Keluarga Malaysia berjaya mengembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh dan kadar pengangguran menurun untuk 12 bulan berturut-turut iaitu 3.7% pada Julai 2022 berbanding 4.8% pada Julai 2021.

BERITA BERKAITAN
Perdana Menteri umum bubar parlimen hari ini
Parlimen dibubar untuk dapatkan mandat baharu, elak perpecahan
Pembubaran Parlimen disambut baik, kembalikan mandat kepada rakyat - Annuar Musa

Sementara itu Ismail Sabri berkata Melaka bakal menerima pelbagai manfaat menerusi Bajet 2023 yang dibentang baru-baru ini, yang mencakupi pelbagai lapisan masyarakat, sektor, industri dan infrastruktur.

Antaranya peruntukan RM1 bilion daripada peruntukan keseluruhan RM372.3 bilion Bajet 2023 bagi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM), peningkatan lima kali ganda berbanding RM150 juta pada tahun ini.

Kata beliau fasa pertama BMTKM di Melaka yang melibatkan dua lokaliti iaitu Jasin (Melaka Selatan) dan Alor Gajah (Melaka Utara) akan memanfaatkan 60 Ketua Isi Rumah (KIR).


Media Baharu