fb fb fb fb fb

Permata Seni Tari sapu bersih 13 kategori International Dance Games 2025 di Sepanyol

Salmiyah Ahmad dan guru tari, Muhammad Akmal Ayob bersama anak-anak Permata Seni Tari ketika menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia

KUALA LUMPUR, 5 Julai- Malaysia mencipta kejayaan membanggakan apabila memenangi kesemua 13 kategori yang disertai menerusi Program Permata Seni Tari kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam International Dance Games 2025, Costa Brava, Sepanyol yang menghimpunkan penyertaan dari 15 negara.

Pertandingan berprestij yang menyaksikan lebih 147 tarian dipertandingkan itu menjadi pentas buat wakil Malaysia mempamerkan keunikan warisan budaya melalui persembahan tarian pelbagai kaum, termasuk elemen etnik dari Sabah dan Sarawak.

Menurut Pengarah Bahagian Bimbingan Seni Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Salmiyah Ahmad, kejayaan itu merangkumi enam pingat emas dan tujuh pingat perak bagi kategori solo, duo, trio, kuartet dan berkumpulan.

“Daripada 13 kategori yang kita sertai, kesemuanya berjaya meraih tempat. Persembahan kita menonjol kerana menggabungkan tarian tradisional dengan elemen moden, berbeza dengan negara lain yang banyak tampilkan gaya kontemporari sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan.

Penyertaan Malaysia kali ini melibatkan 24 peserta bersama 11 jurulatih dan pegawai pengiring, sekali gus membuktikan kemampuan bakat muda negara serta menjadi platform penting memperkenalkan seni tari tradisional Malaysia di persada antarabangsa.

Walaupun tidak membawa pulang anugerah Grand Prix yang dimenangi oleh India, kejayaan menyapu bersih semua kategori yang disertai tetap menjadi pencapaian yang mengharumkan nama negara.

Permata Seni Tari merupakan salah satu cabang bawah Program Permata Seni selain koir dan muzik. Ketiga-tiga cabang tersebut telah menunjukkan prestasi cemerlang di peringkat antarabangsa termasuk kejayaan kategori koir di Korea (2023) dan muzik di Singapura.

Tambah Salmiyah, pihaknya akan terus mengenal pasti peluang untuk menyertai lebih banyak pertandingan berprestij di luar negara tertakluk kepada peruntukan semasa dan jemputan rasmi penganjur antarabangsa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE