BANGKOK, 19 Jun- Pejabat Kedutaan Malaysia di Thailand sentiasa mengalu-alukan kerjasama dan aktiviti berkaitan agama Islam yang ingin dilaksanakan di negara itu oleh NGO Malaysia tetapi ia perlu dilaporkan terlebih dahulu.
Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, langkah tersebut dapat membantu melancarkan aktiviti, menyalurkan bantuan dan dapat mengeratkan lagi hubungan kedua-dua buah negara.
"NGO yang ingin mengadakan program ziarah korban seperti ini, tapi perlu dilakukan melalui Kedutaan Besar Malaysia supaya kita ambil maklum, dapat mengenal pasti tempat-tempat mana yang boleh dilawati.
"Sudah tentu ibadah korban oleh organisasi dari Malaysia dapat mengeratkan lagi hubungan dan rasa silaturahim antara kedua dua buah negara,"katanya.
Beliau ditemui pada majlis sambutan Aidiladha di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok malam tadi.
Program Ziarah Korban 2024 anjuran bersama Masjid Muhammadi Angkasapuri dan Islamic Aid Malaysia itu diketuai Ab. Wahid Ab Hamid yang juga Pengerusi Biro Sosial dan Lawatan Masjid Muhammadi Angkasapuri.
Bersempena program itu, sejumlah 12 ekor lembu dikorbankan dengan tumpuan di perkampungan minoriti Muslim sekitar bandaraya Bangkok dan Pattaya.