(Datuk Seri Takiyuddin menyampaikan ucapan pada perasmian Karnival
KeTSA @ Kota Bharu Prihatin/BERNAMA)
KOTA BHARU, 14 Oktober- 30,000 pengunjung disasar memeriahkan Karnival KeTSA @ Kota Bharu Prihatin yang bermula semalam hingga esok di Dataran Platinum Mall, Lembah Sireh.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata objektif program berkonsepkan turun padang itu ialah menyampaikan informasi dan fungsi kementerian serta jabatan dan agensi bawah KeTSA.
Ia juga bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di Zon Timur Semenanjung.
Julung kali diadakan di Kota Bharu, ia memberi manfaat kepada masyarakat dari pelbagai aspek termasuk kesihatan dan kebudayaan.
"Jumlah pengunjung kalau berdasarkan setiap penyertaan setiap orang memang menggalakkan. Sebagai contoh, 'fun run' pagi tadi difahamkan hampir 2,000 yang menyertai larian secara santai dua hingga empat kilometer, atas dasar konsep sihat," kata Takiyuddin kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan karnival tersebut di sini.
(Datuk Seri Takiyuddin (tengah) melakukan gimik perasmian Karnival KeTSA @ Kota Bharu
Prihatin/BERNAMA)