fb fb fb fb fb

'Ronggeng Melaka' jadi jenama baharu warisan seni budaya negeri

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

BANDA HILIR, 5 Julai - Kepelbagaian warisan seni budaya dan tarian pelbagai kaum di Melaka bakal dijenamakan semula di bawah satu identiti baharu yang dinamakan ‘Ronggeng Melaka’, sebagai salah satu usaha untuk memperkenalkan daya tarikan pelancongan yang segar dan bersepadu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata inisiatif itu akan menghimpunkan seni budaya daripada masyarakat Baba, Nyonya, Chetti, Portugis, India, Cina dan Melayu dalam satu persembahan harmoni di bawah jenama baharu tersebut.

“Ada Baba, ada Nyonya, ada Chetti, ada Portugis, India, Cina dan Melayu. Kita akan menjenamakan semula gabungan-gabungan ini dengan nama Ronggeng Melaka. Jadi, jangan salah tafsir seolah-olah Melaka mahu menghidupkan semula ‘ronggeng’ lama yang telah pupus,” katanya.

“Ronggeng Melaka ini mencerminkan pelbagai seni ada langgam, ada iramanya dan kita akan bawa serta jenamakan semula kesemua seni budaya ini di bawah satu nama yang lebih segar dan menyeluruh,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Rentak Bertandak yang berlangsung di Banda Hilir, di sini pada Jumaat, sebagai salah satu acara sempena pra-pelancaran Hari Pelancongan Sedunia 2025.

Mengulas lanjut, beliau berkata festival berkenaan berpotensi dijadikan sebagai acara tahunan negeri, bukan sahaja sebagai platform mempersembahkan seni tari antarabangsa, tetapi juga sebagai pemangkin ekonomi kepada penggiat seni, usahawan tempatan, karyawan muda serta industri pelancongan Melaka secara keseluruhan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN