fb fb fb fb fb

AMM Ke-58: 200 petugas RTM sedia liputan menyeluruh

Antara barisan petugas RTM yang diberikan taklimat mengenai persiapan menjelang AMM Ke-58 pada 8 Julai

KUALA LUMPUR, 4 Julai - Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) komited melakukan persediaan rapi menjelang penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat utama berkaitan dari 8 hingga 11 Julai ini.

Mesyuarat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu bakal menyaksikan penglibatan seramai 200 petugas RTM daripada Bahagian Berita Ehwal Semasa, Seksyen Ehwal Semasa dan Seksyen Teknikal.

Pengarah Berita Ehwal Semasa RTM, Md Shahri Saripan berkata, persiapan teknikal dan produksi kini sudah mencapai tahap 95 peratus.

"RTM sudah biasa membuat liputan seperti ini. Saya yakin dan percaya dengan kemampuan petugas kita dalam mengurus dan menangani sebarang kemungkinan pada hari penting itu.

"Selain itu, saya juga akan memastikan petugas terlibat mematuhi garis panduan dikeluarkan Kementerian Luar Negeri (KLN)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi Walkabout Media Rasmi Malaysia sempena AMM ke-58 yang turut disertai wakil media daripada Bernama, FINAS dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN).

Md Shahri turut menzahirkan keyakinan terhadap kecekapan dan pengalaman petugas RTM yang menurutnya sudah terbiasa mengendalikan liputan berskala besar.

Sementara itu, taklimat khas mengenai kedudukan media dan pengendalian peralatan teknikal semasa AMM ke-58 turut disampaikan oleh Ketua Unit Komunikasi Korporat Kementerian Luar Negeri, Zul Izwan Hamzah.

GRACE AISYAH KEDAYAN