Putrajaya, 5 Januari 2026 -Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyambut baik Amanat Tahun Baharu 2026 yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut KESUMA, amanat tersebut mencerminkan iltizam kerajaan memastikan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat melalui dasar yang berteraskan kesejahteraan, keadilan sosial serta kemampanan jangka panjang.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, Amanat Tahun Baharu 2026 jelas mencerminkan keutamaan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kebajikan rakyat dan menyesuaikan dasar negara dengan realiti ekonomi semasa.
“KESUMA menyokong sepenuhnya aspirasi yang digariskan oleh YAB Perdana Menteri untuk memastikan pembangunan negara bukan sekadar mencatat pertumbuhan ekonomi, tetapi benar-benar dirasai manfaatnya oleh pekerja dan rakyat secara menyeluruh.
''Fokus terhadap kebajikan pekerja, perlindungan sosial dan peningkatan kemahiran merupakan teras penting dalam agenda pembangunan negara 2026,” katanya.
Peruntukan tambahan RM100 juta menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi pembiayaan latihan kemahiran serta perlindungan jaringan sosial pekerja gig e-hailing dan p-hailing turut diumumkan setelah mengambil kira realiti ekonomi baharu.
Mekanisme pembiayaan sedang diperhalusi dan akan diumumkan kelak.
Selain itu, kebajikan penjawat awam turut diberi perhatian apabila Kerajaan mengumumkan kelonggaran sementara berkaitan Arahan Bayaran Ansuran CP500 bagi tahun 2026 tanpa penalti, khususnya melibatkan kesilapan tidak disengajakan dalam pengisian maklumat pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Dalam pada itu, beberapa inisiatif kesejahteraan rakyat turut diumumkan, termasuk pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 kepada warganegara berumur 18 tahun ke atas mulai 9 Februari serta pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 Fasa 1 bermula 20 Januari.
Kerajaan juga menyediakan peruntukan RM200 juta bagi menaik taraf kemudahan Sekolah Agama Rakyat (SAR), sekolah tahfiz dan institusi berkaitan, selain RM80 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan RM50 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Langkah pengurangan cukai perkhidmatan sewaan kepada enam peratus turut dilaksanakan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.
KESUMA menegaskan komitmen berterusan demi melaksanakan amanah Kerajaan MADANI dengan memastikan setiap inisiatif yang digariskan memberi impak sebenar kepada pekerja dan rakyat, di samping memastikan tiada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan negara.