fb fb fb fb fb

Cadangan had tempoh jawatan PM dijangka tingkatkan akauntabiliti dan tadbir urus

Aktivis politik, Muhammad Faisal Abdul Aziz/RTM

KUALA LUMPUR, 5 Januari - Cadangan kerajaan untuk menetapkan had tempoh jawatan Perdana Menteri dianggap sebagai langkah reformasi institusi yang berani dan berpotensi menjadikan Malaysia sebagai negara perintis dalam sistem Westminster.

Aktivis politik, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) had tempoh jawatan perlu disokong oleh semua pihak, termasuk pihak pembangkang.

“Sehingga kini, tiada negara Komanwel atau Westminster seperti United Kingdom, Kanada, New Zealand atau Australia menetapkan had tempoh jawatan Perdana Menteri. Jika Malaysia berjaya melaksanakan langkah ini, ia akan menjadi contoh baru dan lonjakan bagi demokrasi yang lebih matang", ujarnya ketika ditemubual RTM.

Beliau menambah bahawa cadangan itu sejajar dengan penggubalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, yang menegaskan prinsip akauntabiliti Perdana Menteri dan Kabinet kepada Parlimen sebagai asas sistem Westminster.

Faisal turut menegaskan, had tempoh jawatan berpotensi mengurangkan risiko penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dengan mengelakkan pemusatan kuasa berpanjangan.

Selain itu, katanya, tempoh jawatan yang terhad akan mendorong pelaksanaan dasar dan program secara lebih cekap serta berkesan, sekali gus memberi manfaat langsung kepada rakyat.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD