PUTRAJAYA, 5 Januari - Penekanan kepada kesinambungan pertumbuhan ekonomi, pelaksanaan reformasi yang lebih berkesan dan usaha memastikan kemakmuran negara antara yang digariskan dalam Amanat tahun baru 2026 yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, fokus kerajaan tahun ini bukan sekadar merangka dasar, sebaliknya memastikan pelaksanaan yang lebih tersusun, penyampaian lebih pantas, manfaat yang nyata dan jelas pendekatan itu menuntut disiplin pelaksanaan yang tinggi, penyelarasan lebih kemas antara agensi dan penekanan kepada keberkesanan di peringkat lapangan.
Pada masa sama, kerajaan turut memberi penekanan kepada sektor pelancongan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
"Seiring dengan itu, kerajaan akan terus memperkukuh komunikasi strategik sebagai jambatan antara dasar dan rakyat, memastikan maklumat disampaikan dengan jelas, konsisten dan berfakta.
Pada masa sama, memudahkan rakyat mengakses perkhidmatan dan peluang yang tersedia tanpa kekeliruan.
''Tahun ini juga membawa tumpuan baharu melalui Tahun Melawat Malaysia 2026.
''Inisiatif ini bukan sahaja usaha untuk merancakkan pelancongan tetapi sebagai peluang untuk menggerakkan ekonomi tempatan, memperkukuh ekosistem komuniti rakyat dan mempamerkan hospitaliti Malaysia sebagai destinasi unggul di rantau ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang disiarkan menerusi laman Facebook rasmi Pejabat Perdana Menteri.