fb fb fb fb fb

Peruntukan besar kerajaan untuk SJKC & SJKT, fokus atasi sekolah daif

Foto RTM

GEORGETOWN, 5 Januari - Pengumuman kenaikan peruntukan penyelenggaraan bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sebanyak RM80 juta dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sebanyak RM50 juta menerima reaksi positif masyarakat di Pulau Pinang.

Langkah itu disifatkan sebagai pelaburan penting dalam memastikan infrastruktur pendidikan aliran berkenaan terus diperkasa, seiring dalam memartabatkan kualiti pendidikan nasional.

Salah seorang individu yang ditemui, Aby Luah Yee Yee menyifatkan peruntukan berkenaan mampu menyelesaikan isu sekolah daif dan fasiliti yang usang.

"Peruntukan yang diberi kerajaan boleh digunakan untuk mengganti serta memperbaiki fasiliti yang rosak dan uzur.

"Paling penting, peruntukan diberi mampu membantu para pelajar yang kurang berkemampuan.Selain itu juga boleh menaiktaraf kemudahan digital untuk tujuan pembelajaran", katanya.

Dalam pada itu,Mohamed Nasir Mohideen melihat peruntukan berkenaan sebagai suntikan terhadap sekolah-sekolah terlibat bagi meningkatkan mutu dan tahap pendidikan.

"Ia memberi nafas baharu dan suntikan terhadap insitusi pendidikan selain meningkatkan tahap pembelajaran murid-murid terlibat. Saya benar-benar mengalu-alukan pengumuman yang dilakukan Perdana Menteri", ujarnya.

Sementara itu, salah seorang bapa pelajar yang ditemui RTM, David Cheah menzahirkan ucapan terima kasih terhadap kerajaan susulan pengumuman tersebut.

Jelasnya peruntukan tersebut membolehkan para pelajar menimba ilmu dalam persekitaran yang terbaik

"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri untuk sumbangan dan peruntukan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) seperti yang diumumkan.

"Peruntukan berkenaan membolehkan para pelajar untuk belajar dengan selesa", katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengumumkan peruntukan segera berjumlah RM80 juta dan RM50 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang masih berdepan isu kemudahan daif.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Januari serta Amanat Tahun 2026, di Putrajaya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD