fb fb fb fb fb

Amanat Tahun Baharu 2026: 10 inisiatif utama perkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana

Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana antara yang menerima manfaat daripada inisiatif yang disediakan kerajaan.-Foto Bernama

PUTRAJAYA, 5 Januari - Kerajaan mengumumkan 10 inisiatif utama bernilai hampir RM80 bilion bagi memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), sekali gus memberi kelegaan segera kepada aliran tunai dan kelangsungan operasi perniagaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong dalam satu kenyataan memaklumkan, pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merangkumi pembiayaan tambahan RM2.5 bilion untuk PMKS di bawah Belanjawan 2026, termasuk sokongan kepada perusahaan yang belum pernah menerima pembiayaan.

Antara inisiatif lain ialah penyelesaian penuh bayaran balik lebihan cukai pendapatan bagi tahun taksiran 2023 dan 2024 pada 2026, pengecualian cukai jualan kepada sektor makanan ternakan, baja dan racun serta pengecualian dan pengurangan cukai perkhidmatan sewaan premis PMKS.

Kerajaan turut menaikkan had nilai ambang pendaftaran perkhidmatan pajakan atau sewaan daripada RM1 juta kepada RM1.5 juta, selain memberikan pengecualian cukai perkhidmatan sektor pembinaan selama dua tahun bermula 1 Julai 2025.Bagi pelaksanaan e-Invois, denda untuk perusahaan dengan jualan antara RM1 juta hingga RM5 juta ditangguhkan sehingga 31 Disember 2026.

Seramai 10,000 peniaga kecil, termasuk koperasi luar bandar, juga akan didaftarkan di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Selain itu, peruntukan tambahan RM2.4 bilion disediakan bagi projek kecil kontraktor PMKS G1 hingga G4, manakala Program Pengakuan Sukarela Duti Setem akan dilaksanakan selama enam bulan bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2026.

Inisiatif ini selari dengan strategi ABCD KUSKOP merangkumi Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran, bagi memastikan pertumbuhan mampan ekosistem PMKS negara.

ASHRIQ FAHMY AHMAD