SUNGAI BULOH, 4 Julai - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun meninggal dunia dengan kesan lebam, bengkak dan luka di seluruh badan disyaki menjadi mangsa dera di Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt.Mohd Hafis Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan kematian mangsa daripada pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh pada 12.45 tengah malam tadi.
Kanak-kanak itu dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pasangan suami isteri berusia 27 dan 28 tahun yang juga keluarga angkat mangsa.
“Pemeriksaan mendapati terdapat lebam, bengkak dan luka di seluruh badan selain kesan tompokan darah yang sudah kering di bahagian mulut dan hidung kanak-kanak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh menahan pasangan tersebut bagi membantu siasatan.
“Hasil semakan lanjut mendapati kedua-dua individu berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan perintah permohonan reman akan dibuat esok di Mahkamah Shah Alam bagi siasatan lanjut,” katanya.
Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Balai Polis Saujana Utama di talian 03-6038 3322 atau Pegawai Penyiasat Insp.Mohamad Aizad Abd Azik di talian 013-4861194.