fb fb fb fb fb

Hubungan ASEAN-Eropah perlu disusun semula atas asas kesamarataan

Perdana Menteri sampaikan syarahan umum di Universiti Sorbonne. - Foto RTM

PARIS, 4 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan keperluan untuk menyusun semula hubungan antara Asia Tenggara dengan Eropah atas asas kesamarataan dan saling menghormati.

Dalam syarahan umumnya di Universiti Sorbonne, Datuk Seri Anwar menyambut baik keterlibatan Eropah di rantau Indo-Pasifik, namun menggesa agar hubungan tersebut tidak bersifat dominan atau bersandarkan kepada kebimbangan strategik semata-mata.

"Maka, saya nyatakan di sini bahawa telah tiba masanya untuk Asia Tenggara dan Eropah mentakrifkan semula asas hubungan kita, sebagai rakan setara, sebagai pencipta bersama dan sebagai rakan kongsi dalam membina sebuah dunia yang mendambakan keseimbangan.

"Kita sememangnya mengalu-alukan kerjasama. Namun, biarlah kerjasama itu berlandaskan kesetaraan. Bukan dengan nada merendahkan, bukan sebagai alat untuk mencengkam atau mengekang, bukan sebagai pelindung kepada kegusaran yang tersembunyi dan bukan pula sebagai cerminan kepada ketakutan pihak lain," katanya.

Beliau turut memberikan perhatian serius terhadap kekejaman yang berlaku di Gaza yang disifatkan sebagai "kejatuhan hati nurani dunia".

Perdana Menteri menggesa agar tindakan tegas, serta solidariti antarabangsa terhadap penderitaan rakyat Palestin.

"Statistik ini bukan sekadar angka, 20 yang terkorban, 300 yang terbunuh, ia bukan hanya nombor kerana setiap satunya mewakili sebuah kisah manusia, kisah seorang ibu, seorang anak, seorang ayah. Kisah-kisah ini seharusnya membangkitkan bukan sekadar simpati, tetapi juga seruan untuk bertindak dalam diri kita semua.

"Kita sering berbicara tentang hak asasi manusia, tentang demokrasi dan tentang keperluan untuk melindungi kesucian nyawa. Namun, komuniti antarabangsa tampaknya seolah-olah tidak berdaya untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang berpanjangan ini," katanya.

Mengakhiri ucapannya, Datuk Seri Anwar menyeru agar kedua-dua rantau, Asia dan Eropah menjadikan maruah dan martabat insan sebagai asas perhubungan antarabangsa.

"Asia ialah Timur dan Eropah ialah Barat, namun kita akan bertemu bukan dengan menafikan perbezaan, tetapi dengan mengatasinya bersama-sama demi masa depan generasi akan datang," kata Perdana Menteri.

MASNIZA AWANG KECHIK