PUTRAJAYA, 5 Julai - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan kadar pematuhan yang tinggi dalam kalangan pengusaha dan pemandu bas ekspres serta bas persiaran hasil operasi bersepadu yang dijalankan sejak 1 Julai lalu di seluruh negara.
Pengarah Dasar Penguatkuasaan dan Pendakwaan JPJ, Zulkarnain Yasin berkata operasi yang dikendalikan oleh JPJ Ibu Pejabat dengan kekuatan 20 anggota malam tadi memberi tumpuan khusus terhadap pematuhan pemakaian tali pinggang keselamatan oleh pemandu.
Operasi yang bermula pukul 7.30 malam pada Jumaat di Putrajaya Sentral menyaksikan sebanyak 13 buah bas diperiksa, dengan tujuh daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.
Sebanyak 13 saman telah dikeluarkan kepada pemandu dan satu saman terhadap bas kerana kesalahan teknikal.
“Sejak operasi bermula, sebanyak 3,257 buah bas telah diperiksa, merangkumi 2,459 buah bas ekspres dan 798 bas persiaran,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi tersebut.
Daripada pemeriksaan itu, sejumlah 350 saman telah dikeluarkan terhadap pemandu, manakala 64 saman dikenakan ke atas penumpang.
Menurut beliau, bagi bas ekspres, sebanyak 255 saman direkodkan termasuk 17 saman terhadap pemandu. Manakala bagi bas persiaran, 50 saman dikeluarkan, termasuk tujuh saman terhadap pemandunya.
Zulkarnain turut memaklumkan kadar pematuhan yang direkodkan sangat tinggi, iaitu kurang daripada satu peratus daripada jumlah keseluruhan bas yang diperiksa didapati melakukan kesalahan.
“Alhamdulillah, ini satu petunjuk positif. Saya merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas tahap kepatuhan yang tinggi terhadap pemakaian tali pinggang keselamatan dan pematuhan undang-undang jalan raya. Ia menunjukkan tahap kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan pemandu dan penumpang,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus dipelihara, terutamanya ketika musim perayaan dan cuti sekolah.