KUCHING, 3 Januari – Kerajaan Sarawak memantau rapi situasi Monsun Timur Laut (MTL) dan komited menyalurkan bantuan segera, termasuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih sekolah yang terjejas sekiranya berlaku bencana.
- Kerajaan Sarawak memantau rapi situasi Monsun Timur Laut dan komited memberi bantuan segera jika bencana berlaku.
- Lebih RM300 juta dibelanjakan tahun lalu untuk baik pulih sekolah, jalan runtuh, tanah susur dan klinik terjejas.
- JPBN melawat dan memantau pusat pemindahan sementara, memastikan kebersihan, kesihatan dan bekalan makanan mencukupi.
- Prosedur Operasi Standard sedia diguna pakai untuk pemulihan dan pembukaan semula sekolah serta fasiliti perubatan.
- Orang ramai di kawasan rendah dinasihati utamakan keselamatan dan berpindah segera jika diarahkan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM300 juta bagi kerja-kerja baik pulih sekolah, jalan runtuh, tanah susur serta beberapa klinik yang terjejas akibat bencana pada tahun lalu.
“Kita berharap sekolah tidak terjejas, namun sekiranya berlaku, kerajaan negeri memang mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP). Seperti tahun lepas, terdapat beberapa sekolah dan klinik yang terjejas dan kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan bagi membantu kerja-kerja baik pulih.
“Jabatan berkaitan juga turut bersama-sama memantau keadaan bagi memastikan sekolah dan klinik dapat dibaik pulih dan kembali beroperasi seperti sediakala. Kita sentiasa memantau keadaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua Sungai Tengah, Kuching, yang menempatkan penduduk terjejas banjir dari Taman Malihah dan Kampung Sungai Tengah.
Dalam pada itu, beliau menyatakan kepuasan terhadap pengurusan PPS berkenaan yang mengutamakan aspek kesihatan, kebersihan serta penyediaan makanan dan minuman yang mencukupi, selain keperluan asas bagi meringankan beban mangsa bencana.
Katanya, JPBN Sarawak sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan termasuklah gelombang kedua banjir.
Beliau turut menasihati penduduk yang tinggal di kawasan rendah agar terus mengutamakan keselamatan dan berpindah segera sekiranya diarahkan berbuat demikian.