MELAKA, 3 Januari - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menubuhkan jawatankuasa teknikal bagi menjalankan siasatan membabitkan insiden helikopter Super Lynx TLDM yang dilaporkan melakukan pendaratan cemas di Pantai Klebang, Melaka, pada Rabu lalu.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, jawatankuasa berkenaan akan melakukan siasatan secara terperinci bagi mengetahui punca sebenar kejadian tersebut.
Beliau berkata bangkai helikopter berkenaan telah dihantar ke Pangkalan TLDM Lumut, Perak untuk siasatan penilaian teknikal.
"Kita telah menubuhkan jawatankuasa siasatan. Jadi jawatankuasa siasatan akan mengambil semua aspek-aspek siasatan, sama ada mendapatkan maklumat dari segi anggota, sebab-sebab berlaku begitu.
"Pada masa yang sama penyiasatan dari segi teknikal kepada helikopter itu sendiri, jadi kita akan lihat semua aspek kerana kita tahu bahawa kemalangan bila berlaku semua aspek harus diambil kira.
"... kerana kita harus melihat bagaimana kita berusaha untuk megelakkan kemalangan. Jadi kalau kita lihat dalam kes kemalangan ini, memang kita tahu latihan sentiasa dibuat untuk memastikan bahawa anggota kita selamat dalam apa bentuk kemalangan", katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jom Shopping Barangan Sekolah 2026 di Pulau Sebang, Melaka.
Terdahulu, sebuah helikopter Super Lynx TLDM dilaporkan melakukan pendaratan cemas di perairan Pantai KLebang ketika sedang melaksanakan penerbangan demonstrasi sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat Malaysia (TDM).
