Ketegasan diplomatik, Malaysia berani kutuk keganasan Israel

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada program Temu Anwar bersama Warga MCKK di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) / Foto Bernama

KUALA KANGSAR, 4 April – Malaysia kekal antara negara di dunia yang berani mempertahankan semangat kebebasan serta lantang mengutuk serangan biadab Israel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri tegas mengenai konflik dan penjajahan di Asia Barat, menegaskan pendirian Malaysia.
  • Keberanian menyatakan kebenaran cerminan kedaulatan negara merdeka, tegas Anwar.
  • Usul dibawa ke Parlimen mengutuk serangan itu diluluskan sebulat suara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan pendirian itu ketika mengulas mengenai konflik dan penjajahan yang sedang meruncing di Asia Barat.

Berucap di hadapan warga The Malay College Kuala Kangsar (MCKK), beliau menyifatkan keberanian menyatakan kebenaran adalah cerminan kedaulatan negara yang merdeka.

“Kerana kita negara terbuka, sesetengah negara mahu bercakap dengan Iran pun tidak berani walaupun negara itu merdeka. Sesetengah negara mahu mengutuk serangan biadab Israel terhadap Iran pun tidak mampu. Tetapi kita alhamdulillah, saya bawa usul ke Parlimen dan diluluskan sebulat suara mengutuk serangan tersebut.”

Program bertemakan “MCKK, Kepimpinan Dan Masa Depan Malaysia MADANI” ini membawa signifikansi besar memandangkan Perdana Menteri merupakan alumni kolej berkenaan dari tahun 1960 hingga 1966

Sepanjang tujuh tahun di institusi yang digelar “Eton of the East” itu, beliau dikenali sebagai pelajar cemerlang yang aktif sebagai pemidato serta penggerak utama Persatuan Bahasa Melayu.

Fasa pendidikan di MCKK menjadi tunjang utama dalam membentuk jati diri dan latar belakang kepimpinan awal beliau sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya.