Lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari perahu

MUKAH, 3 Januari – Seorang lelaki berusia 28 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari perahu ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di muara Sungai Batang Oya, Kampung Senau Hilir Oya, Mukah pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • BBP Mukah menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.23 pagi dan menggerakkan anggota ke lokasi.
  • Operasi pencarian dimulakan selepas mendapatkan maklumat daripada ahli keluarga dan polis.
  • Pasukan operasi meninjau sekitar Tapak Pesta Kaul Oya untuk kenal pasti titik kejadian.
  • Operasi melibatkan empat anggota bomba, jentera EMRS, pacuan empat roda, bot, polis dan APM.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah, Nicholas Belulin, mangsa dikenali sebagai Awang Ismail Awang Rosidi, dilaporkan keluar seorang diri ke muara sungai tersebut sebelum kejadian berlaku.

Panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada pukul 9.23 pagi sebelum sepasukan anggota dari BBP Mukah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Operasi pencarian kemudian dimulakan selepas pihak bomba memperoleh maklumat lanjut daripada ahli keluarga mangsa dan pihak polis.

“Pasukan operasi bersama agensi terlibat berada di lokasi sekitar Tapak Pesta Kaul Oya bagi mengenal pasti titik sebenar mangsa dipercayai terjatuh sebelum operasi pencarian dijalankan.

“Operasi mencari dan menyelamat melibatkan empat anggota bomba dengan kekuatan aset sebuah jentera EMRS, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bot,” katanya menerusi kenyataan.

Turut terlibat dalam operasi bersepadu itu ialah Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.