fb fb fb fb fb

Malaysia, Perancis tegas desak penamatan ketegangan di Asia Barat

Malaysia dan Perancis mengulangi pendirian tegas mendesak tindakan segera bagi menamatkan konflik berterusan di Asia Barat / Foto Bernama

PARIS, 5 Julai - Malaysia dan Perancis mengulangi pendirian tegas mendesak tindakan segera bagi menamatkan konflik berterusan di Asia Barat, sambil menekankan tanggungjawab Israel sebagai punca utama permasalahan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kedua-dua negara bersetuju untuk terus menyokong penyelesaian dua negara sebagai jalan keluar terhadap konflik Palestin-Israel yang berpanjangan.

"Memalukan apabila komuniti antarabangsa tidak boleh menyelesaikan hal ini. Kami menyokong inisiatif anda dan komited dengan solusi dua negara. Kami juga menyelar serangan Israel ke atas Iran," ujar Datuk Seri Anwar dalam sidang media bersama di Paris.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron turut berkongsi pendirian sama apabila menggesa semua pihak kembali ke meja rundingan.

"Adalah menjadi tanggungjawab Israel untuk membenarkan orang awam mendapat akses kepada bantuan kemanusiaan. Begitu juga dengan serangan ke atas Iran. Kami menggesa pihak terlibat kembali ke meja rundingan," katanya.

Kenyataan bersama itu dibuat dalam satu sidang media yang mengakhiri lawatan dua hari Perdana Menteri ke Perancis, dan menyaksikan kedua-dua pemimpin senada bahawa keamanan hanya boleh dicapai jika Israel bersedia melaksanakan komitmen terhadap undang-undang antarabangsa.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN