KUALA LUMPUR, 5 Julai- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Brazil bermula hari ini sehingga 7 Julai.
Beliau dijangka tiba di Rio de Janeiro, Brazil pada pukul 6.05 pagi waktu tempatan, sejurus menamatkan lawatan rasmi beliau di Paris.
Pemangku Ketua Perwakilaan Kedutaan Besar Malaysia di Brasilia, Brazil, Datuk Mohammad Ali Selamat memaklumkan lawatan kerja Perdana Menteri ke negara itu adalah atas jemputan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
Datuk Seri Anwar juga dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17, dimana kehadiran Malaysia selaku Negara Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN.
"Perdana Menteri dijangka akan menyertai sesi Presidential panel semasa forum perniagaan BRICS. Acara ini akan dihadiri oleh Presiden Brazil dan dijangka turut disertai oleh pemimpin-pemimpin negara anggota BRICS.
Pada 6 Julai, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat daripada Brazil dan Malaysia bagi membincangkan peluang-peluang perniagaan dan pelaburan.
Perdana Menteri akan menghadiri sidang kemuncak ketua-ketua negara dan kerajaan BRICS ke-17 pada pukul 4. 00 petang di Muzium of Modern Arts dan Perdana Menteri akan menyampaikan kenyataan negara semasa sesi Strengthening Multilateralism Economic Financial Affairs and Artificial Intelligence.
Perdana Menteri akan berkongsi mengenai kepentingan memperkukuh multilateralisme dan kerjasama antarabangsa dalam menghadapi cabaran global termasuk dalam isu ekonomi, perdagangan antarabangsa dan kecerdasan buatan AI.
Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia menggalakkan kerjasama serantau melalui transformasi digital, tadbir urus air dan perdagangan yang lebih inklusif," katanya kepada pemberita dalam sidang media yang diadakan secara dalam talian.
Jelasnya, penyertaan Datuk Seri Anwar dalam sidang kemuncak itu merupakan platform mempamerkan dasar dan komitmen berterusan Malaysia terhadap pembangunan yang inklusif dan mampan, serta memperjuangkan keutamaan kepengerusian ASEAN 2025.
Datuk Mohammad Ali memaklumkan Perdana Menteri juga dijangka mengadakan pertemuan bersama rakan sejawat dari negara anggota dan negara rakan BRICS sepanjang lawatan kerja tersebut berlangsung.
Lawatan kerja Perdana Menteri diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta delegasi Malaysia termasuk komuniti perniagaan.
Tema Sidang Kemuncak pada kali ini adalah “Strengthening Global South Cooperation for More Inclusive and Sustainable Global Governance.”
Malaysia secara rasminya menjadi negara rakan BRICS mulai 1 Januari 2025.