TUARAN, 5 Julai - Pemerkasaan institusi kekeluargaan perlu dijadikan agenda bersama semua pihak dalam usaha membina sebuah negara yang aman dan sejahtera.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, kejayaan misi berterusan itu menuntut kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.
Katanya, antara fokus utama yang digariskan termasuk menangani serta mencegah normalisasi kemaksiatan, selain membendung isu sosial semasa khususnya melibatkan generasi muda.
"Di peringkat Hal Ehwal Agama, pelbagai agensi di bawah kementerian ini telah memainkan peranan penting dari aspek pendidikan, tarbiah, dakwah dan pembangunan namun kami melihat isu ini perlu ditangani secara lebih holistik dan menyeluruh serta memerlukan kerjasama semua pihak agar dapat ditangani semula dengan berkesan," jelasnya kepada RTM di sini, pada Jumaat ketika diminta mengulas laporan lebih 200 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dijangkiti virus HIV tahun lalu.
Mengulas mengenai statistik jangkitan HIV dalam kalangan pelajar IPT, beliau memaklumkan bahawa semakan dan pengesahan lanjut akan dibuat bagi memastikan tindakan susulan yang bersesuaian dapat dilaksanakan.