LABUAN, 5 Julai- Lebih 500 golongan belia berusia 15 hingga 30 tahun memeriahkan penganjuran Program Fiesta Rakan Muda peringkat Labuan.
Penganjuran fiesta itu menjadi satu platform kepada golongan berkenaan untuk mengekspresikan bakat dan potensi melalui 10 gaya hidup Rakan Muda.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan, Mahanum Fauzi berkata penganjuran di peringkat negeri mendapat Kerjasama daripada Jabatan Pendidikan dan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).
Beliau berkata pelbagai aktiviti dilaksanakan antaranya Pertandingan Kawad Kaki, Doodle Arts, Pertandingan Inovasi Kitar semula dan Rakan Muda e-sukan.
"Program ini bertujuan mencungkil bakat anak-anak muda dalam bidang seni kreatif, termasuk disiplin kawad kaki, serta inovasi melalui aktiviti kitar semula.
"Kita juga melibatkan rakan aktif dalam e-sukan, yang merupakan antara minat utama golongan muda masa kini," katanya kepada pemberita pada program yang berlangsung di Padang Kawad UMSKAL, di sini.
Program tersebut disempurnakan oleh Pengarah UMSKAL Profesor Ts. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin.
Beliau menyambut baik penganjurannya kerana ianya signifikan kepada generasi muda dalam usaha membentuk masyarakat MADANI pada masa depan.
"Kita juga ada kelompok mahasiswa yang akan bersama-sama menyumbang kepada kemajuan akademik, keterampilan sosial serta pemerkasaan adab dalam bermasyarakat bersama komuniti," katanya.
Penganjuran program Fiesta Rakan Muda berlangsung selama tiga hari sehingga esok.