
MALE, 13 September- Maldives melihat kepakaran Malaysia penting dalam usaha membangunkan sektor pelancongan negara itu, kata Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizudin Mohd Sani.
- Kerjasama tumpu pada pelancongan, kesihatan dan pendidikan, dengan penekanan kepada pembangunan pelancongan kesihatan.
- Maldives berminat mempelajari pengalaman Malaysia bagi menambah elemen pendidikan dan kesihatan kepada sektor pelancongan.
- Nilai dagangan Malaysia dan Maldives meningkat 4.3 peratus kepada RM862.7 juta pada 2024.
- Lawatan rasmi Perdana Menteri pada 14 hingga 15 September termasuk rundingan, pertukaran MoU dan usaha memperkukuh hubungan dua hala.
Beliau berkata Maldives mahu memperkukuh hubungan dengan Malaysia serta memanfaatkan kepakaran negara dalam pelbagai sektor khususnya pelancongan.
“Sebagai sebuah negara yang pesat membangun dalam sektor pelancongan, Maldives mahu memperkukuh hubungan dengan Malaysia dan memanfaatkan kepakaran Malaysia untuk membangunkan negara itu.
“Sebagai sebuah negara Islam di Lautan Hindi, mereka melihat Malaysia sebagai sebuah negara maju yang boleh menjadi rakan kerjasama dalam pelbagai sektor,” katanya.
Menurut beliau, sektor pelancongan merupakan antara bidang yang berpotensi diterokai Malaysia di Maldives, selain kerjasama dalam sektor kesihatan dan pendidikan.
Beliau berkata Maldives turut berminat mempelajari pengalaman Malaysia dalam membangunkan pelancongan kesihatan, selain melihat pendidikan dan kesihatan sebagai elemen baharu yang boleh melengkapkan sektor pelancongan negara itu.

“Maldives juga melihat bidang kesihatan dan sektor lain yang boleh dipelajari daripada Malaysia, khususnya kejayaan negara dalam membangunkan sektor pelancongan kesihatan.
“Mereka (Maldives) memang terkenal dengan sektor pelancongan, tetapi memerlukan elemen baharu seperti pendidikan dan kesihatan,” katanya.
Dalam pada itu, jumlah dagangan Malaysia-Maldives meningkat 4.3 peratus kepada RM862.7 juta pada 2024, menjadikan Maldives rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan mengadakan lawatan negara ke Maldives pada 14 dan 15 September atas jemputan Presiden Dr Mohamed Muizzu.
Lawatan itu merupakan kunjungan sulung Perdana Menteri ke Maldives sejak beliau memegang jawatan pada November 2022.
Jemputan berkenaan disampaikan ketika lawatan rasmi Presiden Dr Muizzu ke Malaysia pada April 2025.
Dalam lawatan itu, Datuk Seri Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Dr Muizzu dan mengadakan rundingan rasmi bagi memperkukuh kerjasama dua hala dan pelbagai hala, selain meneroka bidang kerjasama baharu.
Kedua-dua pemimpin turut dijadualkan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dalam beberapa perkara berkaitan kerjasama dua hala.
Malaysia dan Maldives telah menjalin hubungan diplomatik selama 58 tahun, selain mengekalkan hubungan rakyat-ke-rakyat, pertukaran peringkat tinggi serta kerjasama pembangunan antara kedua-dua negara.