Insiden Virgo Transport 8: Tiada petunjuk rakyat Malaysia terlibat – Wisma Putra

Foto AFP

PUTRAJAYA, 13 September – Kementerian Luar belum menerima sebarang maklumat yang menunjukkan rakyat Malaysia terlibat dalam insiden kapal penumpang Virgo Transport 8 di Laut Jawa, Indonesia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Luar memantau laporan insiden dan berhubung rapat dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mengikuti perkembangan.
  • Kedutaan Malaysia di Jakarta mengesahkan maklumat penumpang dan mendapatkan perkembangan lanjut daripada pihak berkuasa Indonesia.
  • Rakyat Malaysia di Indonesia dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa serta mendaftar dan kemas kini melalui portal e-Konsular.
  • Setakat ini 103 diselamatkan, seorang maut; Basarnas menerima makluman selepas hubungan terputus ketika cuaca buruk; kapal dari Surabaya ke Banjarmasin.

Kenyataan kementerian berkenaan memaklumkan pihaknya sedang memantau laporan mengenai kapal penumpang berkenaan termasuk berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia.

“Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta juga terus berhubung dengan pihak berkuasa negara berkenaan bagi mengesahkan maklumat penumpang dan mendapatkan perkembangan lanjut,” jelas kenyataan itu pada Ahad.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang menetap atau berada di Indonesia dinasihatkan supaya mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

“Mereka turut digalakkan mendaftar dan mengemas kini maklumat hubungan melalui portal e-Konsular bagi memudahkan komunikasi serta bantuan konsular sekiranya diperlukan,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat atau memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi talian +62 21 522 4947 atau talian kecemasan selepas waktu pejabat di +62 813 8081 3036.

Setakat ini, seramai 103 daripada 243 orang yang berada di atas kapal penumpang Virgo Transport 8, yang terputus hubungan di Laut Jawa awal Ahad, berjaya diselamatkan, manakala seorang dilaporkan maut.

Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) menerima makluman mengenai kehilangan kapal itu pada pukul 4:10 pagi selepas hubungan dengannya terputus kira-kira 2 pagi ketika cuaca buruk di Laut Jawa.

Kapal penumpang itu berlepas dari Surabaya pada Sabtu menuju Banjarmasin.

Kedudukan terakhirnya yang diketahui adalah kira-kira 80 batu nautika dari pangkalan SAR di Banjarmasin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.