
KUALA LUMPUR, 13 September – Pendekatan diplomasi awam yang baik penting dalam usaha kerajaan mengesan dan mendapatkan maklumat mengenai status rakyat Malaysia yang terjejas di Nepal, sekali gus memastikan kebajikan serta keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
- Pengiktirafan terhadap Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta peralatan yang dikongsi membantu operasi menyelamat dan mengesan rakyat Malaysia.
- Sumbangan AS$1 juta oleh Malaysia menyokong usaha pemulihan pascabencana di Nepal, menunjukkan komitmen terhadap bantuan kemanusiaan.
- KPWKM sedia beri bantuan psikososial, kaunseling dan rundingan kepakaran DNA untuk membantu keluarga serta pengenalan mangsa bencana.
Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kepimpinan Malaysia sebagai negara kuasa pertengahan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) membolehkan bantuan kemanusiaan dan diplomasi keselamatan serantau digerakkan secara berkesan.
“Ini termasuk pengiktirafan kepada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang digerakkan serta pelbagai peralatan yang dikongsi dan ditinggalkan di Nepal.
“Langkah ini bagi terus membantu usaha menyelamat masyarakat Nepal, khususnya dalam misi mengesan rakyat Malaysia yang masih belum dikesan.
“Ia sekali gus membuktikan diplomasi awam keselamatan menerima pengiktirafan daripada kerajaan Nepal hasil hubungan baik serta imej Malaysia sebagai negara yang sentiasa bersedia menyalurkan bantuan,” katanya ketika dihubungi RTM.
Mengulas lanjut, beliau berkata komitmen kerajaan turut terbukti menerusi sumbangan AS$1 juta (kira-kira RM4.03 juta) bagi menyokong pemulihan pascabencana di negara itu.
Pada masa sama, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia menyalurkan bantuan psikososial dan kaunseling kepada keluarga mangsa terjejas, selain rundingan berterusan Malaysia menawarkan kepakaran DNA bagi membantu mengenal pasti mangsa bencana.
“Ini sekali gus menjadi satu bentuk aras tanda baharu bagi memastikan bahawa rakyat Malaysia tidak diabaikan. Namun, usaha yang lebih komprehensif dan tersusun perlu terus dijalankan dari semasa ke semasa memandangkan ini merupakan bencana luar jangka di negara luar,” jelasnya.
Terdahulu, seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana di Nepal.