fb fb fb fb fb

Malaysia yakin eksport minyak sawit dan produk berkaitan lebih tinggi ke China

Kementerian Perladangan dan Komoditi yakin eksport minyak sawit dan produk-produk berkaitan minyak sawit Malaysia ke China, akan terus meningkat tahun ini.

SHANGHAI, 14 November - Kementerian Perladangan dan Komoditi yakin eksport minyak sawit dan produk-produk berkaitan minyak sawit Malaysia ke China, akan terus meningkat tahun ini.

Ini menerusi permintaan yang lebih tinggi terutamanya sektor oleokimia dan makanan haiwan yang berkembang pesat di republik itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata ia merupakan sebahagian komitmen berterusan Kuala Lumpur untuk mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dengan China.

Negara itu, katanya secara proaktif meneroka inovatif bagi memaksimumkan nilai dan fleksibiliti minyak sawit dan meluaskan jangkauannya ke pelbagai pasaran.

"Bagaimana kita dapat tingkatkan kerjasama, bagaimana kita dapat tingkatkan implikasi minyak sawit dan bagaimana dari segi perdagangan itu dapat dipermudahkan.

"Kedua-dua negara, bukan sahaja minyak sawit tapi dari segi rantaian, produk hiliran daripada sawit itu sendiri malahan persaingan kita dengan Indonesia dan sebagainya supaya penerimaan sawit di China akan lebih meningkat lagi," katanya.

Padangan serta cadangan pemegang taruh terbesar komoditi itu diperdengarkan pada Mesyuarat Meja Bulat bersama Pemegang Taruh Utama Minyak Sawit di Shanghai.

Selesai mesyuarat, Fadillah turut menyampaikan sijil pengiktirafan Piawaian Pensijilan Rantaian Bekalan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kepada syarikat China, Grand Oils and Fats.

Fadillah turut menekankan perdagangan dua hala merupakan kerjasama menang-menang yang memberi manfaat termasuk institusi kewangan, syarikat logistik dan industri lain yang mempunyai kesan gandaan.

Dalam pada itu, Fadillah turut memaklumkan, Kuala Lumpur merancang untuk memperkukuh penglibatan dalam Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) China di samping meneroka perkongsian ekonomi yang lebih luas dengan ekonomi kedua terbesar dunia itu dalam bidang pertumbuhan pesat seperti pembangunan mampan dan perdagangan hijau.

Negara katanya telah bertindak proaktif dengan mengambil langkah penting dalam mentadbir dan mengeluarkan minyak sawit mampan.

Beliau juga menggesa pihak berkepentingan minyak sawit agar memanfaatkan peluang luas yang disediakan menerusi hubungan perdagangan dan ekonomi yang berkembang pesat antara Malaysia dan China.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN