LONDON, 4 Jun- Satu jawatankuasa bersama antara Persatuan Francais Malaysia dan pemain industri francais di United Kingdom (UK) bakal ditubuhkan bagi memperkukuh kerjasama dua hala.
Inisiatif itu bertujuan membuka lebih banyak peluang pasaran untuk syarikat-syarikat Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dicapai selepas sesi dialog bersama pemegang francais kedua-dua negara pada penghujung lawatan kerja beliau ke UK.
"Kami merasakan terdapat banyak peluang bagi syarikat-syarikat Malaysia untuk mengembangkan francais serta memperoleh francais di negara ini, khususnya dalam produk halal sama ada dalam bidang makanan dan minuman, pendidikan, pengeluaran kosmetik, serta perubatan tradisional melayu.
"Kesemua ini boleh dilaksanakan," katanya selepas merasmikan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 di sini.
Tambah beliau, jawatankuasa tersebut dijangka diwujudkan dalam masa terdekat dan akan dipantau secara berkala melalui Jawatankuasa Kabinet yang akan dipengerusikan beliau sendiri.
"Saya mempengerusikan jawatankuasa francais ini dan akan mendapatkan laporan mengenai sejauh mana komitmen jawatankuasa ini dapat dilaksanakan dengan segera.
"Pencapaiannya pula akan saya pantau setiap enam bulan apabila saya mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet ini dua kali setahun," katanya.
Menurut beliau, inisiatif itu selari dengan sasaran kerajaan untuk meningkatkan penyertaan francais tempatan di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam bidang produk halal yang mempunyai permintaan tinggi di UK.