fb fb fb fb fb

Malaysia ucap selamat tinggal kepada Fu Wa, Feng Yi

Fu Wa dan Feng Yi telah ditempatkan di Zoo Negara sejak tahun 2014, di bawah perjanjian konservasi panda gergasi/Foto RTM

SEPANG, 18 Mei - Pasangan panda gergasi, Fu Wa dan Feng Yi, secara rasmi dihantar pulang ke negara asal dalam Majlis Penghantaran yang berlangsung di Animal Hotel, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Majlis bersejarah itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad, yang mewakili kerajaan dalam menghargai simbol persahabatan dan kerjasama diplomatik antara Malaysia dan Republik Rakyat China.

Nik Nazmi merakamkan penghargaan kepada kerajaan Republik Rakyat China atas peluang yang diberikan kepada Malaysia untuk menyertai Projek Kerjasama Antarabangsa Pemuliharaan Panda Gergasi, menerusi peminjaman pasangan Fu Wa dan Feng Yi selama 10 tahun.

“Malaysia hari ini mengucapkan selamat tinggal kepada Fu Wa dan Feng Yi yang telah menunjukkan pencapaian membanggakan dalam aspek pembiakan.

"Kita berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang, khususnya dalam pemuliharaan hidupan liar.

"Ini merupakan simbol hubungan ekonomi, diplomatik dan persahabatan yang rapat antara kedua-dua negara, sekali gus memperkukuh kerjasama dalam konservasi spesies terancam serta memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penghantaran itu hari ini.

Fu Wa dan Feng Yi telah ditempatkan di Zoo Negara sejak tahun 2014, di bawah perjanjian konservasi panda gergasi yang dimeterai antara kedua-dua negara.

Sepanjang satu dekad penempatan mereka, pasangan panda ini melahirkan tiga ekor anak panda iaitu Nuan Nuan, Yi Yi dan Sheng Yi yang kesemuanya telah dihantar pulang ke China lebih awal.

Majlis penghantaran ini bukan sahaja menandakan tamatnya fasa peminjaman, tetapi juga menjadi detik penuh makna dalam sejarah hubungan konservasi antara Malaysia dan China, yang membuka lembaran baharu untuk kerjasama masa hadapan.

BERITA BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN