fb fb fb fb fb

KPKT bina modal insan unggul, berintegriti dan berdaya saing

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 9 November - Peranan sebagai pusat kecemerlangan perkhidmatan awam negara terus diperkukuh, dengan menekankan pembangunan modal insan yang berintegriti dan berdaya saing.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, kecemerlangan kementerian bukan hanya terletak pada keberkesanan dasar, tetapi pada kekuatan sumber manusia yang berjiwa besar serta berfikiran jauh.


“Di celah kelompok warganya, wujud pegawai dan kakitangan yang luar biasa (exceptional) yang bekerja melangkaui jangkaan, menolak sempadan kebiasaan, dan menjadi nadi kemajuan organisasi.

"Golongan seperti inilah yang perlu kita angkat dan raikan, kerana dalam ekosistem perkhidmatan awam, kecemerlangan tidak boleh dibiarkan tenggelam dalam arus mediokriti.

"Ia mesti diserlahkan, disanjung dan dijadikan contoh dan teladan agar seluruh warga perkhidmatan awam menjadikan prestasi tinggi sebagai norma dan bukannya titik penyisihan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) KPKT 2025 pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai tetamu kehormat yang turut menyampaikan anugerah kepada penerima AKM 2025.

Sejak diperkenalkan pada 2023, AKM menjadi platform pengiktirafan tertinggi kepada penjawat awam cemerlang peringkat KPKT dan kini menampilkan pembaharuan dengan fokus kepada pembangunan kepimpinan muda.


“Inilah antara langkah penting KPKT dalam meremajakan organisasi menyuntik nafas baharu, idea segar dan semangat inovatif yang mampu menggerakkan KPKT ke hadapan dengan lebih dinamik, berdaya tahan dan berwawasan,” jelasnya.

Tambah beliau, antara keunikan AKM adalah bentuk pengiktirafan luar biasa apabila penerima ditawarkan peluang menimba ilmu di Universiti Harvard dan Universiti Melbourne secara tajaan penuh.


“Inisiatif ini mencerminkan komitmen tinggi KPKT terhadap ilmu, kepimpinan dan kecemerlangan yang menjadi asas kukuh untuk memacu pembangunan negara,” tambahnya.

Dalam majlis tersebut, 10 kategori dipertandingkan dalam AKM 2025 antaranya, Anugerah Keunggulan Menteri, Anugerah Kepimpinan Terbaik, Anugerah Kepimpinan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terbaik, Anugerah Kepimpinan Berinspirasi dan Anugerah Kepimpinan Harapan.

Juga, Anugerah PBT Cemerlang, Anugerah Organisasi Unggul, Anugerah Organisasi Sejahtera, Anugerah Ikon Inspirasi dan Anugerah Pelaksana Terbilang.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN