fb fb fb fb fb

Program Jangkauan OTM martabat warisan muzik tradisional

Mohd Johari Md Nordin

PUTRAJAYA, 8 November - Program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM): Sounds of Malaysia memberi pendedahan mengenai kepentingan mempelajari dan memartabatkan warisan muzik tradisional kepada institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Program anjuran Istana Budaya bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu turut menerima kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) sebagai rakan strategik penyelaras bakat universiti awam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya, Johan Cruyff @ Mohd Johari Md Nordin berkata, kolaborasi itu bukan sahaja mempertemukan mahasiswa dengan pemuzik profesional selain membuka ruang pembangunan bakat dan minat jangka panjang terhadap muzik tradisional dalam kalangan generasi muda.

"Jangkauan orkestras tradisional Malaysia ini ia adalah selaras dengan konsep Festival of Ideas itu sendiri di mana Festival Ideas ini kita menitikberatkan idea-idea yang kita nak buat daripada kosong. Tetapi kita dapat kembangkan kepada satu hasil yang sangat signifikan untuk dalam bidang muzik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas persembahan penutup Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Sebanyak 12 universiti bergabung menjayakan persembahan ini, melibatkan lebih 120 tenaga produksi Istana Budaya dan 150 pelajar, penari, pemuzik, penyanyi, koir dan kru akademik.

Antara universiti terlibat termasuk UPM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelanatan (UMK) dan University College Sedaya International (UCSI) sebagai wakil tunggal IPTS.

Majlis turut menyelitkan segmen penghormatan kepada pengasas OTM, Allahyarham Mohd Yazid Zakaria, menerusi lagu Musafir Rindu, mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam memartabatkan muzik tradisional negara lebih dua dekad.

Persembahan turut dimeriahkan dengan kemunculan penyanyi terkenal tanah air seperti Aina Abdul, Khai Bahar dan Liza Hanim yang membawa lagu ikonik termasuk Merawat Luka Terpendam, Bayang, Luluh dan Nafas Cinta.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI