
RIAU, 8 April – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dan Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian, Universitas Islam Riau (UIR) bekerjasama memangkin sektor pertanian bersama komuniti di Pekanbaru, Riau.
- Sesi perkongsian ilmu dan amalan terbaik dalam pertanian dan akuakultur antara UiTM dan UIR.
- Fokus pada pemasaran, penjenamaan dan pengurusan operasi untuk meningkatkan nilai komersial produk pertanian.
- Penekanan penggunaan teknologi moden, pengurusan sistematik serta pendekatan lestari untuk meningkatkan produktiviti.
- Kerjasama membuka ruang pertukaran idea, penyelidikan, latihan lapangan dan pertukaran kepakaran pada masa hadapan.
Menurut Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perlis, Wan Mohd Yaseer Mohd Abdoh, kerjasama strategik itu melaksanakan sesi perkongsian ilmu dan amalan terbaik dalam bidang pertanian dan akuakultur.
“Program berimpak tinggi ini menghimpunkan komuniti setempat yang terdiri daripada penduduk kampung, petani serta barisan pensyarah Fakulti Pertanian Universitas Islam Riau, sekali gus menjadi platform penting dalam memperluas pemindahan ilmu dan teknologi antara Malaysia dan Indonesia.
“Menerusi program ini, turut dikongsikan mengenai amalan pengurusan pertanian serta pendekatan perniagaan yang dipraktikkan di UiTM Cawangan Perlis,” katanya dlam satu kenyataan.
Beliau menambah, turut diketengahkan kaedah mempromosikan hasil pertanian ladang UiTM melalui strategi perniagaan yang berkesan, termasuk aspek pemasaran, penjenamaan dan pengurusan operasi bagi meningkatkan nilai komersial produk pertanian.
Penekanan turut diberikan mengenai kepentingan penggunaan teknologi moden, pengurusan sistematik serta pendekatan lestari dalam meningkatkan produktiviti sektor pertanian dan akuakultur.
“Perkongsian sebegini bukan sahaja memberi pendedahan kepada komuniti setempat tentang teknik dan inovasi terkini, malah membuka ruang kepada pertukaran idea serta pengalaman antara kedua-dua institusi pendidikan tinggi.
“Pelaksanaan program bersama komuniti ini sebahagian daripada lawatan kerja pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Perlis ke Universitas Islam Riau,” tambahnya.
Kerjasama ini diharap mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pertanian yang lebih efisien dan mampan, selain memperkukuh hubungan akademik dan komuniti antara dua negara.
Inisiatif kolaborasi antarabangsa ini juga selaras dengan usaha UiTM Cawangan Perlis dalam memperluas jaringan global serta memperkasa peranan institusi pendidikan tinggi sebagai ejen pemindahan ilmu kepada masyarakat.
Kerjasama ini dijangka akan terus berkembang melalui pelaksanaan program bersama lain seperti penyelidikan, latihan lapangan dan pertukaran kepakaran pada masa hadapan.