KUALA LUMPUR, 19 April- Malaysia meneruskan Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda bersama Republik Rakyat China menerusi pemeteraian perjanjian baharu yang ditandatangani pada 16 April lalu, sempena Lawatan Negara Presiden China ke Malaysia.
Perjanjian tersebut membolehkan Malaysia menerima pasangan Giant Panda baharu untuk tempoh 10 tahun, bermula 2025 hingga 2035.
Sehubungan itu, pasangan panda sedia ada Fu Wa dan Feng Yi akan dihantar pulang ke China pada bulan Mei selepas menjalani tempoh kuarantin bermula 18 April di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP), Zoo Negara.
Sepanjang tempoh kuarantin, pengunjung hanya dibenarkan melihat pasangan panda itu dari pusat pembelajaran khas. Zoo Negara turut merancang beberapa program perpisahan termasuk sesi bersama penjaga panda, tayangan dokumentari dan pertandingan kreatif bertemakan panda.
Sebagai persediaan menerima pasangan baharu yang dijangka tiba pada Ogos ini, fasiliti dan eksibit di PKGP akan melalui proses naik taraf dan penambahbaikan.
Kerjasama konservasi tersebut kekal menjadi simbol persahabatan erat antara Malaysia dan China, khususnya dalam bidang diplomasi konservasi haiwan terancam.