SEREMBAN, 19 April – ELMU Education Group memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) strategik masing-masing dengan Malaysian Institute for Risk and Resilience (MIRAR), serta MoU tiga pihak bersama Persatuan Hospitaliti Malaysia (MHA) dan DHS Hospitality Academy.
Majlis menandatangani MoU di kampus ELMU Bandar Enstek itu disaksikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ELMU, Datuk Hairul Ridza Hayata; Presiden MIRAR, Haji Khairiri A. Ghani; Presiden MHA, Dr. S. Sri Kumar; dan Naib Presiden DHS Hospitality Academy, Puan Hazlin Ismail.
"Kerjasama dengan MIRAR memberi tumpuan kepada pembangunan program latihan dan pensijilan dalam bidang Tadbir Urus, Risiko dan Pematuhan (GRC), selain menyediakan perkhidmatan perundingan, penyelidikan bersama dan inisiatif penjenamaan untuk profesional pertengahan kerjayam" menurut institusi itu menerusi kenyataan.
Sementara itu, MoU tiga pihak bersama MHA dan DHS Hospitality Academy bertujuan memperkasakan tenaga kerja hospitaliti negara melalui modul bersama seperti Pengurusan Krisis, ESG, dan AI dalam hospitaliti, serta pensijilan yang diiktiraf bersama.
Usaha itu turut menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui pembangunan kapasiti berasaskan acara dan latihan.
Kerjasama tersebut mencerminkan komitmen ELMU untuk memperkukuh keupayaan tenaga kerja Malaysia selaras keperluan industri awam dan swasta yang semakin kompleks dan mencabar.