BINTULU, 19 April- Dua maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di hadapan lampu isyarat Paragon, Bintulu lewat malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.54 malam sebelum jentera pertama tiba di lokasi dalam tempoh tiga minit.
Kemalangan melibatkan sebuah pacuan empat roda dan kereta yang dinaiki empat orang mangsa, termasuk seorang wanita warga Indonesia.
Setibanya pasukan bomba di lokasi, dua mangsa didapati tersepit di dalam kereta, manakala dua lagi telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Pasukan bomba kemudiannya menggunakan peralatan khas penyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. Bagaimanapun, kedua-dua mangsa Yiu Siew Lee, 34, dan Janam Ampar, 44 disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Dua lagi mangsa yang mengalami kecederaan parah, Wilson anak Tawi, 24, dan Anis Sintiabella, 19, warga Indonesia, dihantar ke Hospital Bintulu menggunakan jentera EMRS dan ambulans KKM untuk rawatan lanjut.
Pemandu pacuan empat roda, seorang lelaki warga China, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi menyelamat diketuai oleh PBK I Sat Rawing melibatkan 10 anggota bersama dua jentera iaitu unit First Responder (CFRT) dan jentera EMRS.
Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak polis.