GOMBAK, 19 April- Kira-kira 3,500 tetamu hadir memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 peringkat Markas Tentera Laut yang berlangsung di KD SRI GOMBAK, hari ini.
Majlis bertemakan "Beraya di Kampung” itu menghimpunkan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekitar Lembah Klang bersama ahli keluarga mereka dalam suasana penuh kemesraan dan kekeluargaan.
Sambutan turut disertai para pesara TLDM serta mantan Panglima Tentera Laut sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka kepada negara.
Menurut Panglima Tentera Laut, Datuk Zulhelmy Ithnain, majlis berkenaan dilaksanakan dalam tiga sesi utama bagi meraikan pelbagai lapisan komuniti TLDM.
“Sesi pertama melibatkan warga Markas Tentera Laut dan tetamu dari Kementerian Pertahanan. Sesi kedua menumpukan kepada mantan Panglima dan Laksamana TLDM yang telah bersara, manakala sesi petang dikhaskan khusus untuk para veteran yang banyak berjasa kepada perkhidmatan,” jelasnya.
Pelbagai juadah tradisional disajikan kepada para tetamu selain persembahan kebudayaan yang menyerikan suasana sambutan.
Sementara itu, TLDM bakal menyambut Hari Tentera Laut pada 27 April ini yang akan menampilkan acara perbarisan istiadat di Pangkalan TLDM Lumut sebagai acara kemuncak.
Orang ramai juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti sempena Hari Terbuka Armada, termasuk lawatan ke kapal serta interaksi bersama anggota TLDM.