KUCHING, 19 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri mesyuarat khas dan taklimat pembangunan negeri Sarawak sempena lawatan kerja sehari beliau ke negeri itu.
Mesyuarat berlangsung di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya dan disertai oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta timbalan-timbalan premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Ketibaan Perdana Menteri pada pukul 10.40 pagi disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta barisan kabinet negeri.
Mesyuarat bersama kepimpinan negeri berlangsung selama kira-kira sejam dan turut merangkumi taklimat pembangunan yang disampaikan oleh Premier Sarawak.
Taklimat itu menyentuh hala tuju pembangunan negeri termasuk pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik dan projek infrastruktur masa depan.
Antara tumpuan utama ialah sesi lawatan Perdana Menteri ke pameran pelan pembinaan Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang, yang direka berkonsepkan model Pelabuhan Kobe di Jepun.
Selesai mesyuarat, Perdana Menteri dijadualkan menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri MADANI 2025 di Stadium Perpaduan Kuching serta Majlis Ramah Mesra Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, bersama kumpulan sasar di Wisma Sabati, Petra Jaya.