KUALA NERUS, 19 April – Lebih 500 peserta terdiri daripada pelbagai agensi dan orang awam menyertai Program Healthy Walk Terengganu Sihat Sokmo sejauh lima kilometer sempena Sambutan Hari Aktiviti Fizikal Sedunia (WoPAD) 2025 peringkat negeri Terengganu, yang berlangsung pagi tadi.
Program yang bertemakan “Have A Good Time: Be Active!” itu bermula pada pukul 8.00 pagi dan melibatkan laluan dari Jalan Teluk Ketapang ke Seberang Takir.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata aktiviti tersebut bukan sahaja sekadar berjalan kaki, malah menjadi simbolik kepada komitmen dan kesungguhan dalam membudayakan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian.
“Berjalan kaki setiap hari adalah amalan yang sangat mudah tetapi amat berfaedah, kerana ia boleh mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit serta membantu meningkatkan kesihatan mental,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Menurut Dr. Kasemani, Kajian National Health Survey 2023 mendapati 54.4 peratus rakyat Malaysia kini mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti.
“Statistik ini amat membimbangkan. Justeru, aktiviti fizikal seperti ini wajar dijadikan amalan harian untuk meningkatkan tahap kesihatan masyarakat,” ujarnya.
Selain aktiviti berjalan kaki, pelbagai program kesihatan turut diadakan di Pusat Wellness Hud Teluk Ketapang dengan kerjasama rakan strategik dan agensi-agensi di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).