KUALA LUMPUR, 19 April – Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tengku Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor memeriahkan sambutan ulang tahun ke-30 Persatuan Veteran RTM (PVRTM) yang berlangsung pagi ini di Dewan Cendekiawan, IPPTAR, di sini.
Majlis turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi Malaysia, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman bermula seawal pukul 10 pagi dengan ketibaan para ahli PVRTM.
Acara utama bermula pada pukul 11 pagi dengan sesi fotografi diraja, bacaan doa serta ucapan oleh Presiden PVRTM dan Menteri Komunikasi Malaysia.
Turut dilancarkan ialah logo rasmi ulang tahun ke-30 PVRTM serta program PVRTM.podcast yang disempurnakan sendiri oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor.
Sebagai simbolik sokongan berterusan kepada persatuan, turut diadakan penyampaian mock cheque tajaan kepada baginda, selain sambutan ulang tahun ke-100 bekas tokoh penyiaran negara, Tan Sri Ahmad Merican.
Majlis diteruskan dengan jamuan Hari Raya Aidilfitri dan persembahan hiburan, diikuti sesi fotografi eksklusif bersama ahli-ahli PVRTM sebelum majlis berakhir pukul 2 petang.