fb fb fb fb fb

Malaysia himpun 210 pakar rangka masa depan AI berteraskan nilai kemanusiaan

FOTO FB Kementerian Digital

PUTRAJAYA, 19 April- Malaysia melangkah lebih jauh dalam usaha mempercepatkan transformasi digital negara dengan menghimpunkan seramai 210 pakar tempatan dan antarabangsa dari pelbagai latar belakang dalam satu inisiatif strategik membentuk masa depan kecerdasan buatan (AI) negara.

Inisiatif yang diterajui oleh Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) bawah Kementerian Digital itu bertujuan bukan sahaja untuk membina teknologi AI yang canggih dan inovatif, tetapi yang juga berakar pada nilai-nilai kemanusiaan dan manfaat sejagat.

Hari ini, satu sesi libat urus telah dianjurkan oleh NAIO, disertai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar, yang hadir mewakili Menteri Digital, Gobind Singh Deo. Turut serta, ahli-ahli Kumpulan Kerja NAIO yang secara rasmi ditubuhkan pada 27 Februari 2025.

Kumpulan tersebut terdiri daripada pelbagai golongan profesional termasuk usahawan teknologi, penjawat awam, ahli akademik, pakar etika dan pengamal AI melibatkan penyertaan rakyat Malaysia dan bukan warganegara, sama ada yang menetap di dalam atau luar negara.

Dalam tempoh kurang dua bulan, kumpulan ini telah berjaya merintis satu pendekatan baharu dalam pembangunan dasar model dasar pantas, inklusif dan praktikal, yang dirangka untuk terus diadaptasi dan dilaksanakan dalam konteks dunia sebenar.

Kini, Kumpulan Kerja NAIO sedang merangka cadangan strategik dalam tujuh bidang utama yang dikenal pasti sebagai kritikal dalam membina ekosistem AI yang kukuh, progresif serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE