750 keluarga terjejas banjir di Selangor terima bantuan awal RM500

KUALA SELANGOR, 25 November – Seramai 750 keluarga yang terjejas akibat banjir di seluruh Selangor akan menerima bantuan awal sebanyak RM500 setiap keluarga bermula minggu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 750 keluarga terjejas banjir di Selangor akan menerima bantuan awal RM500 setiap keluarga.
  • Penyaluran bantuan bergantung pada rekod pendaftaran lengkap di pusat pemindahan sementara (PPS).
  • Cuaca dijangka hujan berterusan, menyebabkan proses bantuan perlu dilaksanakan dengan berhati-hati.
  • Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari memantau PPS SK Desa Aman dan mendengar taklimat mengenai keperluan mangsa.
  • Kerja-kerja penyaluran disasarkan diselesaikan awal minggu ini atau selewat-lewatnya Jumaat, selepas semakan senarai berdaftar.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata proses penyaluran bantuan perlu menunggu rekod pendaftaran lengkap di pusat pemindahan sementara (PPS), selain mengambil kira keadaan cuaca yang masih dijangka hujan berterusan.

“Awal minggu ini atau selewatnya Jumaat kita akan selesaikan, tetapi kita perlu tunggu pendaftaran di PPS lengkap. Cuaca hari ini dan esok juga dijangka hujan berterusan, jadi kita kena berhati-hati dari semasa ke semasa. Bantuan bukan boleh terus diserah sekarang, kita perlu selesaikan dahulu dan semak senarai yang berdaftar di PPS,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau PPS Sekolah Kebangsaan Desa Aman di Kuala Selangor, selain meluangkan kira-kira satu jam mendengar taklimat serta meninjau keperluan penduduk yang terjejas banjir.