LAHAD DATU, 25 November - Kerajaan memberi jaminan keselamatan dan pembangunan Sabah merupakan tanggungjawab seluruh negara, bukan hanya penduduk negeri itu, apabila tentera dan pasukan keselamatan dari seluruh Malaysia terus digerakkan bagi mempertahankan kedaulatan Sabah termasuk di kawasan ESSZONE.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Sabah sentiasa berada dalam perlindungan serta perhatian rakyat Malaysia, termasuk anggota keselamatan dari Semenanjung yang mempertahankan negeri itu ketika berdepan insiden pencerobohan di Tanduo pada 2013.
Beliau berkata, dakwaan kononnya “Sabah untuk Sabahan” adalah tidak tepat kerana pasukan keselamatan dari seluruh negara telah mempertaruhkan nyawa demi melindungi Lahad Datu dan kawasan timur Sabah di bawah ESSZONE.
“Siapa kata orang Semenanjung tidak sayang kepada Sabah?. Ini orang Semenanjung yang mempertahankan Sabah. Adakah orang yang cakap ‘Sabah untuk Sabahan’ itu pernah datang ke Tanjung untuk mempertahankan Tanjung atau federal Sabah? Orang itu tidak pernah datang. Datang dari mana arahan untuk saya mempertahankan tempat ini? Ketika itu 10 orang polis terkorban dan seorang tentera terkorban.
"Saya bertemu Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliaulah yang banyak berjasa mempertahankan tempat ini. Malah di resort Felda Sahabat ini, Datuk Seri Najib membuat keputusan supaya ESSCOM ditubuhkan untuk mempertahankan Felda Sahabat dan seluruh Lahad Datu. Siapa kata orang Semenanjung tidak sayang Sabah?. Benar, Sabah ini untuk orang Sabah. Tetapi Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia,” katanya.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Program Permuafakatan Komuniti Felda Wilayah Sahabat yang berlangsung di Dataran Expo, Felda Wilayah Sahabat, Lahad Datu.
Menurut beliau, ketika insiden pencerobohan berlaku, seramai 10 anggota polis dan seorang tentera terkorban, dan kerajaan ketika itu turut menghantar bantuan segera termasuk kehadiran pimpinan tertinggi negara.
Beliau turut mengingatkan penubuhan ESSCOM berpunca daripada keputusan kerajaan Persekutuan di Felda Sahabat, bagi memastikan keselamatan Sabah terus terjamin.
Dalam ucapannya, beliau turut merakam penghargaan terhadap usaha Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang berjaya mempertahankan Malaysia dalam kes tuntutan Kesultanan Sulu di Mahkamah Antarabangsa di Belanda sehingga tuntutan tersebut ditolak sepenuhnya.
Meski mengakui Sabah adalah milik rakyat Sabah, beliau menegaskan negeri itu merupakan sebahagian daripada Malaysia dan tanggungjawab mempertahankan kedaulatannya adalah usaha bersama, selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mana proses rundingannya masih berjalan.
Mengimbau kembali operasi ketenteraan di Lahad Datu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata pasukan keselamatan ketika itu mengesan sekumpulan penceroboh melalui penggunaan dron (UAV). Pihak penceroboh kemudian cuba mengalihkan perhatian dengan melepaskan beberapa ekor kambing dari bawah sebuah rumah, namun tindakan itu gagal apabila lokasi tersebut tetap berjaya dikesan dan dineutralkan.
Beliau menegaskan Kerajaan Persekutuan akan terus memperkukuh aspek keselamatan, undang-undang dan pembangunan di Sabah agar rakyat negeri itu menikmati kemajuan setara dengan negeri-negeri lain.