KUBANG PASU, 25 November - Laluan lorong arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Kilometer 28.3 hingga kilometer 28.4 berhampiran Jitra ditutup kepada lalu lintas berikutan peningkatan paras air banjir ke lebuh raya itu.
Pengendali lebuh raya PLUS Malaysia Bhd memaklumkan, penutupan berdekatan antara laluan Dewan Wawasan ke Jitra.
"Orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan pegawai dan papan tanda trafik di lokasi dan memastikan semua langkah berjaga-jaga diambil serta merancang perjalanan atau merujuk @llmtrafik," menurut PLUS di laman X.
Sementara itu kenyataan dilaman facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu memaklumkan, penutupan laluan lorong arah selatan berikutan banir bermula pukul 11.00 pagi tadi.
Menurut kenyataan itu lagi pengguna lebuh raya diminta keluar melalui susur persimpangan Malau/Jitra dan boleh masuk semula melalui susur masuk Darulaman.